Monday, May 9, 2016

KENYATAAN YAB PERDANA MENTERI TENTANG NAHAS HELIKOPTER AS 350 DI SARAWAK

MAY 6, 2016

Dukacita saya maklumkan bahawa salah satu mayat mangsa AS 350 telah ditemui. Saya rasa amat sedih apabila menerima berita tersebut.

Ketika sidang media pagi tadi, saya telah memaklumkan bahawa pada jam 9.50 pagi, pasukan mencari dan menyelamat telah menemui serpihan helikopter yang dipercayai daripada helikopter AS 350. Serpihan-serpihan yang ditemui termasuklah sebuah peranti lokasi, kerusi, sebahagian pintu dan dinding pesawat.


Sepertimana yang telah dimaklumkan, sebuah helikopter jenis AS 350 yang diuruskan Hornbill Skyways telah berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang ke Kuching.

Ketika dalam perjalanan, helikopter tersebut telah terputus hubungan dengan menara kawalan. Selepas beberapa kali cuba dihubungi, pesawat tersebut telah dilaporkan terputus hubungan dan keputusan untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat dilakukan lewat petang semalam. Pesawat TUDM juga telah terbang di kawasan yang dipercayai helikopter tersebut terputus hubungan.

Identiti penumpang telah dikenalpasti sebagai YB Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, Dato’ Noriah Kasnon, YB Dato Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Dr Sundaran Annamalai, Ketua Setiausaha KPPK, Tuan Asmuni Abdullah, suami kepada YB Dato’ Noriah, Encik Ahmad Sobri, Pegawai Keselamatan Timbalan Menteri dan Kapten Rudolf Rex Ragas, juruterbang helikopter AS 350.

Usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga kita menemui kesemua mangsa yang menaiki pesawat ini.

Saya dimaklumkan bahawa kawasan serpihan helikopter ditemui adalah bersebelahan dengan kawasan Batang Lupar yang merupakan sungai yang besar. Oleh itu, ia mungkin akan menyukarkan operasi mencari dan menyelamat. Namun begitu, segala usaha untuk mencari mereka yang masih hilang sedang diperhebatkan.

Sekian.

YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN RAZAK
Perdana Menteri
Malaysia
Kuching, Sarawak

REF.: https://www.najibrazak.com/bm/blog/misi-mencari-menyelamat-helikopter-as-350/


admin
GNGOM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BNBBC

BNBBC
KLIK UNTUK KE BNBBC.MY

GABUNGAN NGO MALAYSIA - GNGOM